Friday, February 10, 2012

Masa tunggu aku!



“Macam mana soalan tadi? senang ke susah?”
“Ada yang susah, ada yang senang. Entahlah, Harap dapat A”
“Yahuuu. Merdeka la pasni. Merdeka!” 
“Alhamdulillah, dah selesai. Tawakal sahaja pada Allah!”


Antara kata-kata yang sering kita dengar bila berakhirnya sebuah imtihan. Pelbagai bicara yang terbit daripada bibir dan pelbagai reaksi yang terpancar di wajah. Memang tidak dinafikan berakhirnya sebuah imtihan merupakan satu nafas lega atas segala usaha lelah yang telah dibuat sebelum berperang menggunakan pen dan kertas.


Namun, bila bercakap mengenai tamatnya imtihan, perkara utama yang tak harus dipandang ringan adalah nikmat masa yang tersedia selepasnya. Ramai yang menganggap termasuk diri saya bahawa masa tersebut adalah satu kebebasan yang ditunggu-tunggu dan diidam-idamkan, masa  'membalas dendam' untuk melakukan apa sahaja aktiviti yang tidak dapat dilakukan ketika musim imtihan hinggakan ada diantara kita yang mengeluh kebosanan.


Persoalannya disini, apakah sebenarnya kita ada masa lapang untuk bersenang-lenang?


Teringat sebuah mesej yang dihantar seorang sahabat mengenai sebuah pepatah arab.


air yang bertakung tidak mengalir akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak masa lapang akan dibunuh oleh masa lapangnya itu"

Seorang sahabat yang saya kagum kerana banyak pengisian dan walaupun semasa cuti semester seperti program Oasis Tilawah Al-Quran, Palestin Bazaar, menulis artikel dll. Cemburu kerana berjaya menjadikan cutinya sebagai  satu medium untuk menyumbang pada ummah.  Benarlah Allah berikan ruang untuk kita merangka penyibukkan diri bagi tempoh seterusnya, namun andai masa lapang itu menyebabkan lahirnya rasa bosan dan tidak tahu nak buat apa, itu sebenarnya tanda kejayaan sang nafsu dan syaitan menyelinap masuk ke dalam diri kita untuk terus menggoda jiwa manusia agar terus leka dan alpa. Benarlah, kadang-kadang kita tak menyedari bahawa kita diseronokkan dengan hal-hal yang tidak menyumbang pada amal bahkan terus dilarutkan dalam keseronokan yang membuatkan kita berasa indah dengannya sebab itu kita perlu dinasihatkan dan perlu sentiasa diperingatkan..


“Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya sekiranya mereka mengetahui.” (Ar-Rum: 64)


Hidup mukmin itu beragenda. Mereka yang hangat jiwanya pada ilmu dan akhirat tidak merasakan kehidupan ini satu kesenangan, tidak merasakan kehidupan ini satu kelapangan, mereka berusaha menawan alam Allah yang terbentang agar Islam itu tertegak dengan gahnya, mereka mengejar agenda syurga Allah yang teragung agar pengakhirannya satu kenikmatan, sungguh, hidup didunia ini untuk bersusah payah. 


Lantas, apakah kita sudah punya perancangan untuk menggapai agenda?


Atau kita masih lagi berkira-kira untuk menggapai agenda?


“…Maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah kamu semua kembali, lalu diberitahukanNya kepadamu terhadap apa yang dahulu kamu perselisihkan.” (Al-Maidah: 48)


Kerehatan yang sebenar hanya mampu dirasa bila berada dalam syurga Allah. InsyaAllah.



Moga Allah Redha.

No comments:

Post a Comment