Monday, June 25, 2012

Latih Diri menjadi Sensitif?




"Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu melainkan mereka yang merubahnya sendiri" -Ar Ra'ad : 11


Sering kita beri ribuan alasan dan sebab setiap kali diajak untuk melakukan kebaikan atau berubah. Dikatakan usia masih muda ( aku muda lagi, dah tua nanti aku taubatlah ), dikatakan perjalanan hidup yang masih panjang ( aku muda dan kuat, kenapa perlu susah-susah beramal sekarang? ) dikatakan juga belum sampai seru ( esok lusalah aku solat, belum sampai seru lagi) dan macam-macam lagi alasan-alasan yang dihujahkan.


Kita buat seolah-seolah janji dan pesona dunia lebih penting berbanding mengejar kampung halaman yang hakiki iaitu syurgaNya. Dan terkadang juga, manusia terlalu berat untuk melaksanakan apa yang dituntut oleh Sang Pencipta. Rasa malas berjaya menguasai seluruh hati dan anggota. Seolah-olah jasad digari daripada sujud pada Yang Satu.

Mengapa begitu malas untuk beribadah padahal tujuan penciptaan kita adalah untuk mengabdikan diri semata-mata kepada Allah (51:56). 


Andai dipuji tentang kecantikan paras rupa, pantas hati berbunga-bunga indah. Tetapi jika dikatakan sebaliknya, terus hati menjadi sensitif. Alangkah indahnya jika hati kita terasa sensitif dan terasa hati, andai diberitahu tentang keadaan amal dan iman kita yang makin berkurang. Terus hati yang sensitif ini, menyedarkan jiwa-jiwa lalai kita untuk terus memohon seribu keampunan dariNya. 


Anas RA berkata,
Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ' Allah telah berfirman, " Hai anak Adam, selama kamu berdoa dan berharap pada-Ku dan tidak Aku hiraukan bagimu semua yang terjadi padamu dan tidak Aku hiraukan berapa banyaknya. Hai anak Adam, andaikan dosamu telah mencapai langit kemudian minta ampun pada-Ku, Aku ampunkan bagimu. Hai anak Adam, andaikan kamu menghadap pada-Ku dengan wadah di bumi penuh dosa tetapi kamu tidak mempersendakan Aku dengan sesuatu apa pun nescaya Aku isi semua wadah itu dengan pengampunan." (Riwayat Attirmidzi)


Latih diri kita untuk jadi lebih sensitif bila berkaitan dengan iman dan amal. Sensitif yang akan menolak minda dan jiwa untuk bergerak mencari redha dan cinta Allah. 


Yakinlah dengan kuasa Hijrah, 
"faiza 'azamta fatawakkal 'alallah"
"Bila sudah berAZAM maka berTAWAKALlah"
"When you made a decision, put your trust in Allah, Allah loves those servants who like to put the trust in Him"


Usah menangguh dengan keinginan hijrah itu sendiri, masa terus berlalu, Jika bukan sekarang bila lagi, jika bukan saat ini bila lagi. Sungguh, tiada yang lebih berbahaya dari sikap menangguh-nangguhkan kebaikan.


"Ya, Allah! Kami bermohon padaMu agar ditetapkan iman, janganlah Engkau bolak-balikkan hati-hati kami setelah kami mendapat petunjuk daripadaMu. Hidupkan dan matikan kami dalam iman. Ampunilah dosa-dosa kami. Lindungilah kami daripada api nerakaMu. Tempatkan kami dalam syurgaMu. Amin Ya Rabb "


 Wallahualam.

Saturday, June 23, 2012

Wacana Perdana: PRU13 - Masa Depan Islam?


PRU 13 : Masa Depan Islam?
24 Jun 2012 Ahad - 9 Malam
Balai Islam, Kota Bharu
Menampilkan Dr. Fadzli, Ust. Fathul Bari, Dr. MAZA, Dr. Ridhuan Tee.
Moderator : Amin Idris

Moga Allah beri peluang untuk hadir ke wacana perdana ini.

Kerana kasih sayang Allah, hati kita terpaut

6EA & 6EB



Bismillahirrahmanirrahim. 


Tak mampu diceritakan dengan lisan mahupun tindakan.
Yang pasti ukhuwwah fillah itu satu anugerah. Anugerah yang sangat-sangat indah dan terkesan di hati.
Hanya dirasai oleh mereka yang sama-sama menuju cintaNya yang satu.
Kini saya benar-benar rasa apa itu keindahan ukhuwah. Allah Allah.
Air mata yang menitis saat jari sedang mengorak langkah menulis apa yang terbuku di hati,
menjadi saksi betapa aku mensyukuri nikmatMu ini, ya Allah.

Sahabat, andai sahaja dapat aku terangkan perasaanku ketika ini.
Andai sahaja dapat aku berkongsi sedikit rasa hati.
Andai sahaja dapat aku kongsi rasa rindu ini denganmu.
Sahabat semua, jangan kamu lupakan sabahatmu yang dhaif ini nanti.



Sahabat, aku mahu kamu tahu. Kamu sentiasa ada dalam doaku.
Aku mahu kamu tahu. Yang aku sentiasa mendoakanmu untuk menemukan jalan terindah dalam hidupmu.
Aku mahu kamu tahu, aku mahu jadi temanmu. Selamanya. Hingga ke syurga. 


 “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun kerana mengasihani Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah) Mu, bersatu memikul beban dakwah Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syari’at Mu.

 Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya, kekalkan kemesraan antara hati-hati ini, tunjuklah kepada hati-hati ini akan jalanNya (yang sebenar), penuhkanlah (piala) hati-hati ini dengan cahaya Rabbani Mu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakkal kepada Mu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentang Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agama Mu. 

Sesungguhnya Engkau sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda semuanya.”

Ikhlas daripada,
seorang sahabat yang dhaif yang pasti akan merindui kalian semua. Pasti.
23 Jun, 3 Syaaban
3.58am

Biarlah menulis itu kerana Allah






Bangkit! Bangkit!

 Moga punya kesempatan lagi untuk memuntahkan apa yang terbuku di jiwa hamba ini.
 Terlalu ingin menulis lagi. Terlalu. Moga jariku tidak kaku.

 p/s : Ramadhan makin mendekat. Mungkinkah ini yang terakhir? Alhumma balighna Ramadhan.