Tuesday, September 18, 2012

Di mana Allah dihati kita?


Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan Allah?''

Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan Allah bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat Allah tapi aku tidak..."

Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan Allah pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA dihatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini. Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta Allah dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dasyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA dihatimu?"

Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA dihatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintaiNya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintaiNya."

Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin Allah itu dekat, pintu keampunanNya lebih luas daripada pintu kemurkaanNya. Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya, aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA dia hatiku dan dihatimu jua.

Dan kita akan terus mengemis kasih...

(Di mana DIA dihatiku oleh Ustaz Pahrol Juoi)

"Bila Allah ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan, dan kebahagiaan yang hakiki" -Di Mana Dia Di Hatiku, Ust. Pahrol Mohd Juoi

No comments:

Post a Comment