Wednesday, December 19, 2012

Kesederhanaan dalam Islam

Assalamu'alaikum wbt.


Hari ini saya nak berkongsi sedikit melalui pembacaan penulis tentang sebuah buku " Kesederhanaan dalam Islam" Buku nipis yang sekitar 120 muka surat ini ditulis oleh Prof Dr. Yusuf al Qaradhawi yang merupakan seorang ulama terkenal dalam abad sekarang.  Beliau telah menulis hampir seratus lebih buku dalam pelbagai bidang ilmu Islam. Penulisan beliau sangat diminati dan menjadi rujukan oleh ummat Islam seluruh dunia malah buku-buku tersebut dicetak berulang kali dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. SubhanAllah banyaknya pahala yang Dr dapat kutip.

Entah kenapa penulisan Dr Yusuf Qardhawi sangat dekat di hati.  Penulisan Dr. berjaya membuat saya untuk terus mencari-cari buku-bukunya yang lain walaupun terpaksa berbelanja lebih sedikit. Dr Yusuf Qardhawi banyak membantu ana melalui pemikiran dan tulisan beliau supaya menilai dan memahami sesuatu itu secara menyeluruh, berlaku adil, menjadi golongan pertengahan tanpa ta'sub kepada mana-mana aliran atau individu.


Punca keruntuhan ummat Islam

Sebelum kita mengenali apa itu kesederhanaan dalam Islam, kita perlu tahu dua sifat yang menjadi punca keruntuhan sesuatu ummat. Nak tahu solusinya kena tahu puncanya dulu ^_^

1. Al Ghuluw - yang bermaksud berlebihan atau menyusahkan perkara ibadat sehingga membawa kepada kesulitan dengan meluaskan ruang lingkup kewajipan atau pengharaman ke atas mukallaf dan menolak keringanan yang diberikan oleh Allah.

2. Al Inhilal - yang bermaksud kebebasan yang melampaui batasan sehingga tidak terikat dengan arahan agama dan larangannya, mengabaikan kewajipan yang telah ditentukan oleh syarak dan menghalalkan pengharamannya.

See, kebaikan seluruhnya sebenarnya terletak pada kesederhanaan di mana menjauhkan perbuatan yang menyusahkan dalam urusan agama atau mengabaikan tuntutannya. Hakikat inilah yang menjadi intipati seruan al Quran dan Sunnah. Jalan kesederhanaan adalah satu-satunya tali penyelamat yang mampu menolong ummat Islam keluar daripada kepelbagaian permasalahan yang dihadapi.

Makna kesederhanaan

1. Sederhana bermaksud seimbang
Cuba kita perhati dan tadabbur sebentar alam semesta yang kita berada sekarang. Pasti kita dapat rasa keseimbangan yang jelas ketara, antara malam dan siang, gelap dan cahaya, panas dan sejuk, laut dan darat dan lain-lain. Senang kata, kita lihat semuanya berada pada tahap dan kadar yang sekata dan tidak terkeluar dari apa yang ditetapkan. Macam itu juga dengan matahari dan bulan, bintang-bintang dan planet semuanya berada di laluan orbit sendiri tanpa bertembung antara satu sama lain.

" Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran" ( Surah al Qamar : 49)

Islam mahukan umatnya mengamalkan sifat keseimbangan dalam kehidupan, aspek pemikiran, akhlak semasa manusia dan sebagainya. Jika perkara ini dapat diamalkan, maka umat Islam adalah satu umat yang berbeza daripada umat lain. Indahkan Islam? ^_^

2. Sederhana bermaksud adil dan saksama

 Antara makna sederhana ialah adil dan saksama. Sifat ini sering disebut oleh al Quran sebagai sifat utama kepada setiap umat Islam iaitu umat yang menjadi saksi terhadap umat-umat yang lain. Adil adalah satu syarat yang perlu ada untuk membolehkan seseorang menjadi saksi dalam sebarang pembuktian dalam sesebuah penghakiman. Boleh rujuk surah al Baqarah ayat 143 dimana ada disebut berkaitan ummatan wasatha ( mungkin yang dah melalui daurah Syahadatul Haq biasa dengan ayat ini). Kalimah ummatan wasatha telah ditafsirkan Rasulullah sebagai makna adil yakni mengambil sikap berkecuali atau pertengahan antara dua pihak yang bertelingkah atau bertentangan.

3. Sederhana juga simbol pada kekuatan

Kedudukan pada garis pusat yang berada di tengah medan adalah asas kekuatan.

 Contoh yang boleh kita ambil ialah zaman remaja kita. Ini kerana zaman remaja hingga dewasa adalah kemuncak kekuatan manusia. Remaja sebenarnya berada di antara dua kelemahan. Kelemahan pertama pada peringkat usia kanak-kanak dan kelemahan peringkat kedua ialah sewaktu usia meningkat tua.

4. Sederhana juga tonggak kepada kesatuan

Sesuatu yang berada pada posisi pertengahan akan serasi dengan bahagian lain dan mampu menyatukannya. Situasi ini kita boleh bayangkan dengan objek yang berada pada posisi pertengahan mampu menjadi titik penghubung di antara objek-objek di bahagian lain.


Ya, manusia memang tidak mampu mencipta sistem yang sederhana

Kekuatan minda manusia yang terbatas menyebabkan kita tidak mampu mencipta sistem yang sederhana TANPA panduan daripada Allah. Lebih-lebih lagi manusia sering didorong oleh hawa nafsu, kecenderungan terhadap kepentingan diri, keluarga, keturunan, bangsa dan sebagainya. Kecenderungan inilah sering kali mempengaruhi kita secara sedar atau tidak sebenarnya bukan? Semoga Allah menjadikan kita daripada golongan pertengahan dan sederhana dalam semua perkara. Allahumma Aameen.

Alhamdulillah, akhirnya mampu mencuri masa mencoretkan sesuatu di sini walaupun hanya sedikit perkongsian berbanding apa yang ada dalam buku tersebut.
ALLAH redhailah masaku.

No comments:

Post a Comment