Tuesday, December 11, 2012

Mukhayyam Ja'a Ghuraba' ilallah

Alhamdulillah, penulis baru sahaja pulang bermukhayyam bersama-sama akhwat-akhwat yang Osem. Mukhayyam kali ini berkisar tentang MANUSIA dan KEBENARAN yang banyak dikupas dari buku Yusuf al-Qardhawi. Akhwat-akhwat semua di ajak untuk berfikir mengenai Al-Haq (kebenaran) yang sejak akhir-akhir seperti tenggelam dan pupus kerana Bathilun (kebatilan) yang lebih banyak mendonimasi dalam kehidupan manusia sekarang. Nauzubillahi min zalik. Buku ini mengandungi 11 bab yang merangkumi pelbagai persoalan tentang manusia dan kebenaran. Buku ini memang susah untuk dicari dipasaran sekarang. Hampir sahaja penulis putus asa mencari buku ini. Penulis mahu ada sekurang-kurangnya sedikit gambaran tentang buku ini sebelum bermukhayyam supaya ilmu-ilmu yang bakal dikutip semasa bermukhayyam lebih terkesan dihati.  Alhamdulillah  penulis berjaya meminjamnya di library UKM walaupun yang ada hanyalah sebuah saat itu. 





Apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan Al-Haq?

Al Haq ini banyak diertikan mengikut pelbagai bidang seperti bidang akhlak, ilmu falsafah, undang-undang. Bagi mereka yang mendalami bidang akhlak, kalimah Al Haq ini lebih banyak digunakan dalam perkara yang berkisar tentang kelakuan seseorang kepada yang lain. Manakala, bagi pendokong falsafah, kalimah al Haq itu diguna untuk menunjukkan kepada salah satu daripada nilai tertinggi iaitu Haq, Kebaikan dan Kecantikan. Sementara bagi pakar undang-undang, kalimah al Haq diguna bagi mencakupi hak diri dan peribadi seperti hak anak kepada ibubapa, hak pelajar terhadap majikan biasiswanya, hak sahabat terhadap sahabatnya dan lain-lain.

TAPI, menurut Al-Quran Al Haq itu menunjukkan lawan kepada kebatilan dan kesesatan. Al Haq itu bersifat tetap dan kekal. Manakala yang batil itu bersifat hilang dan berubah. Apa yang bersifat kekal dan tetap maka ia adalah haq dan apa-apa yang bersifat binasa, musnah maka ia adalah batil. Allah sahaja yang bersifat kekal dan tetap, jadi apa sahaja perkara yang bersandarkan kepada maka ianya adalah al Haq.


"..maka tidak ada sebuah kebenaran itu melainkan kesesatan" ( Yunus: 32)

Rasulullah SAW bersabda : "Sebenar-benar kalimah yang dikatakan oleh penyair ialah kata Lubiid iaitu : "Ingatlah bahawa tiap-tiap sesuatu selain Allah adalah batil" ( Buku Manusia dan Kebenaran m/s 25)

Kebenaran vs Kebatilan

Cuba kita lihat keadaan dunia sekarang? Mungkin terlalu besar skopnya, kita lihat suasana di Malaysia sekarang. Kita boleh lihat kebatilan itu lebih popular dan dikenali ramai ummat daripada kebenaran itu sendiri dengan sistem riba' berleluasa, runtuhnya akhlak remaja sekarang, sistem undang-undang yang lebih mencendok sistem Barat dan lain-lain. 

Okay. Jom kita buat perbandingan supaya lebih jelas. Seperti yang kita tahu Islam itu al Haq (kebenaran yang tidak boleh dinafikan lagi) manakala Barat kita ambil sebagai kebatilan. Then, cuba kita renung sejenak, mengapa kita lihat ummat ISLAM SEKARANG lebih mundur dan kebelakang dari segi politik, ekonomi, ilmu sains dan sebagainya tapi sebaliknya kita lihat kebatilan (Barat) itu jauh lebih kehadapan? 

Silapnya pada ummat Islam sekarang. Siapa ummat Islam sekarang? KITA! Kebatilan itu muncul bila kebenaran itu dilalaikan. Tapi yakinlah suatu hari nanti kebatilan itu akan musnah dan lenyap. Keburukan kebatilan itu pasti akan dapat dilihat dan terserlah. 

" Katakanlah:Sesungguhnya Tuhanku mewahyukan kebenaran. Dia Maha Mengetahui segala yang ghaib.Katakanlah: Kebenaran itu telah datang dan yang batil itu tidak akan memulai dan tidak(pula) akan mengulangi." ( Saba': 48-49)

Siapa yang bertanggungjawab untuk melenyapkan kebatilan? Ummat Islam. Siapa ummat Islam? KITA! DIRI PENULIS SENDIRI. T_T

Rasulullah s.a.w bersabda : "Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni sesuatu hidangan" Berkata seorang sahabat, "Adakah ia lantaran pada waktu kita yang sedikit?" Nabi menjawab, "Tidak,sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih ketika berlaku banjir. Allah mencabutkan rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu." Sahabat-sahabat bertanya, "Apakah itu wahan?" Bersabda nabi, "Cintakan dunia dan takutkan mati ". (Hadis Riwayat Abu Daud) 

Berhubung dengan hadith ini, as-Syeikh Said Hawa dalam al-Madkhal Ila Dakwah al-Ikhwan Al-Muslimin berkata, " Sejak runtuhnya kerajaan Uthmaniyah di Turki, umat Islam menjadi seperti yang disebutkan oleh hadith ini. Inilah penyakit yang menyerang umat Islam pada hari ini. Umat kehilangan kekuatan sehingga menjadi ringan dan terus hanyut di bawa arus. Bagaimanakah cara bagi menghentikan keadaan ini? Kita sebenarnya bertanggungjawab menerapkan nilai kebenaran pada umat dan seterusnya memproses umat ini sehingga mereka mempunyai nilai-nilai Islam yang kukuh, yang memampukan mereka melahirkan arus mereka sendiri.".


Buih di lautan

Nah inilah kata kunci kenapa ummat Islam kelihatan mundur zaman ini sedangkan Barat maju kehadapan meninggalkan kita. Okay untuk nampak lebih jelas, cerita zaman kanak-kanak akan diselitkan. ^_^
Ingat lagi kisah kura-kura dan arnab? Kisah yang sangat famous masa zaman kanak-kanak kita. Dalam kisah ini arnab dan kura-kura berlumba untuk sampai ke garisan penamat. Bila difikirkan memang mustahil untuk kura-kura menang perlumbaan tersebut. Tapi di pengakhiran kisah ini, kura-kura berjaya mengalahkan arnab yang lebih pantas berlari daripada kura-kura. Sebab apa? Sebab arnab leka dan tertidur. Sampaikanlah kura-kura lalu depan pun arnab tak sedar. Dalam kisah ini, kura-kura diibaratkan sebagai kebatilan, manakala arnab sebagai kebenaran.

Dan yang peling menyedihkan, inilah hakikat sebenarnya ummat Islam sekarang. LEKA dan LALAI. Walhal seperti yang kita tahu era kegemilangan Islam bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW   sehinggalah Tamadun Uthmaniyyah. Ummat Islam yang terdahulu sangat hebat dan dapat membina sebuah tamadun yang hebat. Sejarah sendiri membuktikan bagaimana penemuaan ilmu-ilmu Sains dan Matematik oleh ummat Islam merentasi zaman. Tapi disebabkan lekanya ummat Islam dengan nikmat dunia yang sementara, kita tertinggal jauh ke belakang. Sehinggalah kebatilan itu sendiri memintas kita. Dan yang paling menyedihkan adalah apabila ummat Islam itu sendiri menganggap kebatilan itulah kebenaran. T_T


Cari, jumpa, hargai dan dokonglah. 



Allah itu Maha Pemurah. DIA kurniakan kita dengan fitrah suci manusia yang cintakan kebenaran dan suka mencari untuk mendapatkan kebenaran. Kemudian Allah kurniakan kita dengan aqal supaya manusia dapat mengenali kebenaran tersebut dan Allah sempurnakan pencarian tersebut melalui kitab Allah supaya manusia manusia tidak terpedaya dan sesat semasa dalam proses mencari kebenaran. FITRAH, AKAL dan KITAB inilah neraca yang perlu digunakan manusia dalam mencari al Haq. Ketiga-tiganya perlu diguna secara serentak bukan sekadar dua atau satu agar tidak berlaku penyelewangan dan kesesatan.


Bangkitlah hati-hati yang mempunyai mata agar kebatilan itu akan terhapus dengan wujudnya kebenaran yang tersusun.


" Dan katakanlah: Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap.Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap" ( Al-Israa':8)



Walaki, walana insyaAllahu Jannah

Sabarlah wahai saudaraku
Tuk menggapai cita
Jalan yang kau tempuh sangat panjang
Tak sekedar bongkah batu karang


Yakinlah wahai saudaraku
Kemenangan kan menjelang
Walau tak kita hadapi masanya
Tetaplah al-Haq pasti menang

Tanam di hati benih iman sejati
Berpadu dengan jiwa Rabbani
Tempa jasadmu jadi pahlawan sejati
Tuk tegakkan kalimat Ilahi


Pancang tekadmu jangan mudah mengeluh
Pastikan azzam-mu smakin meninggi
Kejayaan Islam bukanlah sekedar mimpi
Namun janji Allah yang Haq dan pasti..!


"Ya Allah! Tunjukkan kami kebenaran itu kebenaran dan kurniakan kami kekuatan untuk mengikutinya. Dan tunjukkan kami kebatilan itu kebatilan, dan kurniakan kami kekuatan untuk menjauhinya, dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih"


p/s : Perasaan yang sama hadir semasa menghadiri daurah Syahadatul Haq. Terasa sedih, sesak nafas dan dada serta terpukul. Betapa berat dan besarnya amanah dalam memikul al Haq. Betapa terasa amat sedikit usaha dalam menegakkan Al Haq. Allahu Allah, Kau bantulah hambaMu ini dalam mencari dan menegakkan Al Haq. Aameen..

No comments:

Post a Comment